Imam Muslim dalam Shahihnya, dan juga para penulis kitab sunnah telah
meriwayatkan sebuah kisah taubat yang paling mengagumkan yang diketahui
oleh manusia. Pada suatu hari Rasulullah duduk di dalam masjid,
sementara para sahabat beliau duduk mengelilingi beliau. Beliau
mengajar, mendidik dan mensucikan (hati) mereka.
Tiba-tiba datanglah seorang wanita berhijab masuk melalui pintu
masjid. Melihat wanita itu Rasulullah pun diam, dan begitu juga para
sahabat beliau. Wanita tersebut menghadap dengan perlahan, dia berjalan
dengan penuh gentar dan takut, dia lemparkan segenap penilaian dan
pertimbangan manusia, dia lupakan aib dan keburukan, tidak takut kepada
manusia, atau mata manusia dan apa yang akan dikatakan oleh manusia.
Dia menghadap untuk mencari kematian. Kematian lebih ringan, jika
disertai oleh pengampunan dan penghapusan dosa. Menjadi ringan jika
setelah kematian tersebut terdapat keredhaan dan penerimaan dari sisi
Allah. Dia berjalan sampai kepada Rasulullah, kemudian dia berdiri di
hadapan beliau, dan mengkhabarkan kepada beliau bahawa dia telah
berzina!
Dia berkata, “Wahai Rasulullah, aku telah melakukan (maksiat yang mewajibkan adanya) hukuman had (atasku), maka sucikanlah aku!”
Apa yang diperbuat oleh Rasulullah s.a.w.? Apakah beliau meminta
persaksian dari para sahabat atas wanita tersebut? Tidak, bahkan
merahlah wajah beliau hingga hampir-hampir menitiskan darah. Kemudian
beliau mengarahkan wajah beliau ke arah kanan, dan diam, seakan-akan
beliau tidak mendengar sesuatu. Rasulullah berusaha agar wanita ini
mencabut perkataannya, akan tetapi wanita tersebut adalah wanita yang
istimewa, wanita yang solehah, wanita yang keimanannya telah tersusuk di
dalam hatinya. Maka Nabi bersabda kepadanya, “Pergilah, sehingga engkau
melahirkannya.”
Berlalulah bulan demi bulan, dia mengandung puteranya selama 9 bulan,
kemudian dia melahirkannya. Maka pada hari pertama nifasnya, dia pun
datang dengan membawa anaknya yang telah diselimuti kain dan berkata,
“Wahai Rasulullah, sucikanlah aku dari dosa zina, inilah dia, aku telah
melahirkannya, maka sucikanlah aku wahai Rasulullah!”
Maka Nabi pun melihat kepada anak wanita tersebut, sementara hati
beliau tercabik-cabik kerana merasakan sakit dan sedih, dikeranakan
beliau menghidupkan kasih sayang terhadap orang yang berbuat maksiat,
rahmat kepada burung, dan menyayangi haiwan.
Sebahagian ahli ilmu berkata, “Bahkan beliau, memberikan rahmat
hingga kepada orang kafir. Allah berfirman tentang beliau, “Dan
tidakklah aku utus kamu Muhammad, kecuali sebagai rahmat bagi alam
semesta.” Siapa yang akan menyusui bayi tersebut jika ibunya mati?
Siapakah yang akan mengurusi keperluannya jika had (hukuman) ditegakkan
atas ibunya? Maka Nabi bersabda, “Pulanglah, susuilah dia, maka jika
engkau telah menyempurnakannya, kembalilah kepadaku.”
Maka wanita itu pun pergi ke rumah keluarganya, dia susui anaknya,
dan tidaklah bertambah keimanannya di dalam hatinya kecuali keteguhan,
seperti teguhnya gunung. Tahun pun bergilir berganti tahun. Kemudian
wanita itu datang dengan membawa anaknya yang sedang memegang roti. Dia
berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah menyempurnakan memberinya susu,
maka sucikanlah aku!”
Dia dan keadaannya sungguh sangat menakjubkan! Iman yang bagaimanakah
yang membuatnya berbuat demikian. Tiga tahun lebih atau kurang, yang
demikian tidaklah menambahnya kecuali kekuatan iman.
Nabi mengambil anaknya, seakan-akan beliau membelah hati wanita
tersebut dari antara kedua lambungnya. Akan tetapi ini adalah perintah
Allah, keadilan langit, kebenaran yang dengannya kehidupan akan tegak.
Nabi bersabda, “Siapa yang mengkafil (mengurusi) anak ini, maka dia
adalah temanku di syurga seperti ini…” Kemudian beliau memerintahkan
agar wanita tersebut direjam (dilempari dengan batu hingga mati).
Maka manusia pun berkumpul, dan merejamnya. Memancutlah darah dari
kepala wanita tersebut mengenai Khalid bin Walid, maka dia pun
mencacinya pada jarak pendengaran Nabi. Maka beliau bersabda kepadanya,
“Tenang wahai Khalid, demi Allah, dia telah bertaubat dengan pertaubatan
yang seandainya penarik pajak bertaubat dengannya pastilah akan
diterima darinya.”
Dalam sebuah riwayat bahawa Nabi memerintahkan agar wanita itu
direjam, kemudian beliau mensolatinya. Maka berkatalah Umar, “Anda
mensolatinya wahai Nabi Allah, sungguh dia telah berzina.” Maka beliau
bersabda, “Sungguh dia telah bertaubat dengan satu taubat, seandainya
taubatnya itu dibahagikan kepada 70 orang dari penduduk Madinah, maka
taubat itu akan mencukupinya. Apakah engkau mendapati sebuah taubat yang
lebih utama dari pengorbanan dirinya untuk Allah?” (HR. Ahmad)
Sesungguhnya ini adalah rasa takut kepada Allah. Sesungguhnya itu
adalah perasaan takut yang terus menerus berada pada diri wanita
mukminah tersebut saat dia terjerumus ke dalam jerat-jerat syaitan, dia
menjawab jerat-jerat tersebut pada saat lemah. Ya, dia telah berbuat
dosa, akan tetapi dia berdiri dari dosanya dengan hati yang dipenuhi
oleh iman, dan jiwa yang digerakkan oleh panasnya maksiat. Ya, dia telah
berdosa, akan tetapi telah berdiri pada hatinya tempat pengagungan
terhadap Dzat yang dia bermaksiat kepada~Nya. Sesungguhnya ini adalah
taubat sejati wahai hamba-hamba Allah. Ya, ini taubat nashuha wahai
hamba-hamba Allah.
Wallahu’alam…
Sikap sabar dalam menghadapi semua persoalan hidup adalah satu
anugerah dari Allah, tidak semua orang mendapat anugerah tersebut. Jika
ada sifat sabar dalam dirimu, maka bersyukurlah kepada yang memberi
kesabaran pada dirimu iaitu Allah SWT.
Home »Unlabelled » Taubat Seorang Wanita Penzina Konten Lain di Sini
Taubat Seorang Wanita Penzina
0 Comments