Pages - Menu

Senin, 28 Januari 2013

Taubat Seorang Wanita Penzina

Imam Muslim dalam Shahihnya, dan juga para penulis kitab sunnah telah meriwayatkan sebuah kisah taubat yang paling mengagumkan yang diketahui oleh manusia. Pada suatu hari Rasulullah duduk di dalam masjid, sementara para sahabat beliau duduk mengelilingi beliau. Beliau mengajar, mendidik dan mensucikan (hati) mereka.
Tiba-tiba datanglah seorang wanita berhijab masuk melalui pintu masjid. Melihat wanita itu Rasulullah pun diam, dan begitu juga para sahabat beliau. Wanita tersebut menghadap dengan perlahan, dia berjalan dengan penuh gentar dan takut, dia lemparkan segenap penilaian dan pertimbangan manusia, dia lupakan aib dan keburukan, tidak takut kepada manusia, atau mata manusia dan apa yang akan dikatakan oleh manusia.
Dia menghadap untuk mencari kematian. Kematian lebih ringan, jika disertai oleh pengampunan dan penghapusan dosa. Menjadi ringan jika setelah kematian tersebut terdapat keredhaan dan penerimaan dari sisi Allah. Dia berjalan sampai kepada Rasulullah, kemudian dia berdiri di hadapan beliau, dan mengkhabarkan kepada beliau bahawa dia telah berzina!
Dia berkata, “Wahai Rasulullah, aku telah melakukan (maksiat yang mewajibkan adanya) hukuman had (atasku), maka sucikanlah aku!”
Apa yang diperbuat oleh Rasulullah s.a.w.? Apakah beliau meminta persaksian dari para sahabat atas wanita tersebut? Tidak, bahkan merahlah wajah beliau hingga hampir-hampir menitiskan darah. Kemudian beliau mengarahkan wajah beliau ke arah kanan, dan diam, seakan-akan beliau tidak mendengar sesuatu. Rasulullah berusaha agar wanita ini mencabut perkataannya, akan tetapi wanita tersebut adalah wanita yang istimewa, wanita yang solehah, wanita yang keimanannya telah tersusuk di dalam hatinya. Maka Nabi bersabda kepadanya, “Pergilah, sehingga engkau melahirkannya.”
Berlalulah bulan demi bulan, dia mengandung puteranya selama 9 bulan, kemudian dia melahirkannya. Maka pada hari pertama nifasnya, dia pun datang dengan membawa anaknya yang telah diselimuti kain dan berkata, “Wahai Rasulullah, sucikanlah aku dari dosa zina, inilah dia, aku telah melahirkannya, maka sucikanlah aku wahai Rasulullah!”
Maka Nabi pun melihat kepada anak wanita tersebut, sementara hati beliau tercabik-cabik kerana merasakan sakit dan sedih, dikeranakan beliau menghidupkan kasih sayang terhadap orang yang berbuat maksiat, rahmat kepada burung, dan menyayangi haiwan.
Sebahagian ahli ilmu berkata, “Bahkan beliau, memberikan rahmat hingga kepada orang kafir. Allah berfirman tentang beliau, “Dan tidakklah aku utus kamu Muhammad, kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta.” Siapa yang akan menyusui bayi tersebut jika ibunya mati? Siapakah yang akan mengurusi keperluannya jika had (hukuman) ditegakkan atas ibunya? Maka Nabi bersabda, “Pulanglah, susuilah dia, maka jika engkau telah menyempurnakannya, kembalilah kepadaku.”
Maka wanita itu pun pergi ke rumah keluarganya, dia susui anaknya, dan tidaklah bertambah keimanannya di dalam hatinya kecuali keteguhan, seperti teguhnya gunung. Tahun pun bergilir berganti tahun. Kemudian wanita itu datang dengan membawa anaknya yang sedang memegang roti. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah menyempurnakan memberinya susu, maka sucikanlah aku!”
Dia dan keadaannya sungguh sangat menakjubkan! Iman yang bagaimanakah yang membuatnya berbuat demikian. Tiga tahun lebih atau kurang, yang demikian tidaklah menambahnya kecuali kekuatan iman.
Nabi mengambil anaknya, seakan-akan beliau membelah hati wanita tersebut dari antara kedua lambungnya. Akan tetapi ini adalah perintah Allah, keadilan langit, kebenaran yang dengannya kehidupan akan tegak.
Nabi bersabda, “Siapa yang mengkafil (mengurusi) anak ini, maka dia adalah temanku di syurga seperti ini…” Kemudian beliau memerintahkan agar wanita tersebut direjam (dilempari dengan batu hingga mati).
Maka manusia pun berkumpul, dan merejamnya. Memancutlah darah dari kepala wanita tersebut mengenai Khalid bin Walid, maka dia pun mencacinya pada jarak pendengaran Nabi. Maka beliau bersabda kepadanya, “Tenang wahai Khalid, demi Allah, dia telah bertaubat dengan pertaubatan yang seandainya penarik pajak bertaubat dengannya pastilah akan diterima darinya.”
Dalam sebuah riwayat bahawa Nabi memerintahkan agar wanita itu direjam, kemudian beliau mensolatinya. Maka berkatalah Umar, “Anda mensolatinya wahai Nabi Allah, sungguh dia telah berzina.” Maka beliau bersabda, “Sungguh dia telah bertaubat dengan satu taubat, seandainya taubatnya itu dibahagikan kepada 70 orang dari penduduk Madinah, maka taubat itu akan mencukupinya. Apakah engkau mendapati sebuah taubat yang lebih utama dari pengorbanan dirinya untuk Allah?” (HR. Ahmad)
Sesungguhnya ini adalah rasa takut kepada Allah. Sesungguhnya itu adalah perasaan takut yang terus menerus berada pada diri wanita mukminah tersebut saat dia terjerumus ke dalam jerat-jerat syaitan, dia menjawab jerat-jerat tersebut pada saat lemah. Ya, dia telah berbuat dosa, akan tetapi dia berdiri dari dosanya dengan hati yang dipenuhi oleh iman, dan jiwa yang digerakkan oleh panasnya maksiat. Ya, dia telah berdosa, akan tetapi telah berdiri pada hatinya tempat pengagungan terhadap Dzat yang dia bermaksiat kepada~Nya. Sesungguhnya ini adalah taubat sejati wahai hamba-hamba Allah. Ya, ini taubat nashuha wahai hamba-hamba Allah.
Wallahu’alam…
Sikap sabar dalam menghadapi semua persoalan hidup adalah satu anugerah dari Allah, tidak semua orang mendapat anugerah tersebut. Jika ada sifat sabar dalam dirimu, maka bersyukurlah kepada yang memberi kesabaran pada dirimu iaitu Allah SWT.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar